Skip to main content
News

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Ke Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)

Selangor, 2 Julai 2020 – YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi hari ini meluangkan masa membuat lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di Dengkil, Selangor. Delegasi ini telah di sambut oleh YBhg. Datuk Wira, Ir. Md. Sidek bin Ahmad, Pengerusi Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), YBrs. Tuan Haji Mohd Pauzi Mohd Sobari, Ketua Pengarah AELB dengan diiringi barisan Pengurusan Tertinggi Jabatan.

AELB merupakan salah satu agensi di bawah MOSTI. Secara umumnya, AELB bertanggungjawab dalam mengawal dan mengawalselia keselamatan (Safety), sekuriti (Security) dan kawalgunaan (Safeguards) bagi aktiviti tenaga atom di Malaysia. Ini adalah untuk memastikan ia dikendalikan dengan selamat dan tidak memberikan impak negatif kepada pekerja, orang awam dan juga alam sekitar.

Para delegasi juga turut berkesempatan untuk meninjau kemudahan dan fasiliti yang terdapat di AELB seperti ke Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear (Nuclear Security Support Centre, NSSC), Bilik Rampasan (Bomb Pit) dan Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (PTNK). Turut sama dalam lawatan tersebut ialah wakil MOSTI iaitu Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin, Setiausaha Bahagian Pembudayaan STI. Diharapakan melalui program lawatan ini, YB Tuan Haji Ahmad Amzad akan dapat mengenali AELB dengan lebih dekat lagi akan peranan dan fungsi AELB dalam mengawal dan mengawalselia aktiviti tenaga atom di Malaysia demi menjamin kesejahateraan rakyat.