Skip to main content
News

Lembaga Angkasa Malaysia

26 Oktober 2023, Putrajaya – Lembaga Angkasa Malaysia atau juga dikenali sebagai “MSB” merujuk kepada Malaysian Space Board yang ditubuhkan bagi menasihati Kerajaan mengenai perkara-perkara berhubung pelaksanaan dan pentadbiran Akta Lembaga Angkasa Malaysia [Akta 834] khususnya mengenai kawal selia aktiviti angkasa di Malaysia. Akta ini juga berperanan memastikan aktiviti angkasa negara dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

MSB telah bersidang untuk kali kedua tahun ini pada 24 Oktober 2023 dengan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi MSB. Manakala, Penguasa Angkasa bertindak sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Mesyuarat MSB yang diselaraskan oleh Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI selaku Bahagian yang mengawal selia semua urusan tadbir urus berkaitan Akta 834.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Puan Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, MOSTI merangkap Timbalan Pengerusi MSB. Mesyuarat turut dihadiri ahli-ahli MSB yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara. Turut hadir sama adalah Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Unit Perundangan MOSTI dan wakil daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta Jabatan Kerajaan Tempatan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Mesyuarat kali ini memfokuskan kepada penelitian terhadap draf Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Fasiliti Pelancar di Malaysia yang dirangka dengan tujuan untuk memberi rujukan kepada entiti yang ingin merancang dan membangunkan fasiliti pelancar di Malaysia serta memandu arah proses berkaitan. Hal ini turut diambil maklum oleh wakil daripada KPKT yang turut memberi input dan pandangan sewajarnya mengikut kepakaran mereka. Pembangunan fasiliti pelancar di Malaysia dilihat sebagai salah satu peluang dan potensi dalam menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab aktiviti angkasa dunia memandangkan kedudukan geografi Malaysia yang strategik iaitu berada berhampiran dengan garisan Khatulistiwa yang membolehkan aktiviti pelancaran dapat dilakukan dengan jayanya menggunakan kos yang lebih efektif.
Melalui mesyuarat MSB kali ini, dapatan perbincangan bersama ahli mesyuarat akan dapat memperkasakan draf Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Fasiliti Pelancar di Malaysia sebagai dokumen rujukan yang praktikal dan menyeluruh bagi menarik potensi pelaburan asing, namun pada masa yang sama menitikberatkan kepentingan aktiviti angkasa negara dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selamat.
Selain itu, mesyuarat turut bersetuju dengan pencalonan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai ahli kepada Jawatankuasa Kerja (JK) Triti Angkasa sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dan berpengalaman dalam pengurusan bencana di dalam dan luar negara. Penyertaan NADMA ke dalam JK Kerja Triti Angkasa ini bertepatan dengan pelbagai proses pengurusan yang perlu diselaraskan sekiranya berlaku bencana angkasa dan membantu dalam meneliti komitmen negara berkaitan misi menyelamat bencana angkasa di peringkat global yang terkait dalam Triti Angkasa.
Skip to content