Skip to main content
News

Majlis Penutup Cradle LIVE! Summit 2026

5 November 2026, Kuala Lumpur – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Penutup Cradle LIVE! Summit 2026 yang berlangsung di The Arch Galeries, Kuala Lumpur hari ini.
Sidang kemuncak anjuran Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), ini telah berlangsung selama dua hari dengan 2000 orang pengunjung, 120 pempamer serta 80 orang penceramah tempatan dan antarabangsa.
Sidang ini memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang pertumbuhan syarikat pemula melalui kerjasama industri, akses pembiayaan dan pengembangan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
YB Timbalan Menteri menekankan tiga keutamaan dalam memacu pembangunan syarikat pemula negara, iaitu menterjemahkan jaringan kerjasama kepada peluang komersial, memperluas akses pembiayaan dan sokongan kepada usahawan di seluruh negara serta menggalakkan syarikat pemula meneroka pasaran ASEAN sejak peringkat awal pembangunan perniagaan.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada lima pasukan terbaik Cradle Startup Bootcamp: ED32 Hours Challenge yang telah membangunkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran sebenar dalam tempoh 32 jam, sekali gus mengetengahkan potensi bakat dan kreativiti usahawan teknologi tempatan.
MOSTI melalui Cradle akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasa syarikat pemula negara, menggalakkan penerima gunaan teknologi serta memanfaatkan inovasi tempatan bagi membuka peluang perniagaan dan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Skip to content