23 Julai 2026, Segamat – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Selatan yang berlangsung selama dua hari di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Segamat, Johor. Penganjuran Malaysia Techlympics 2026 Zon Selatan secara rasminya membuka tirai pertandingan saringan peringkat zon bagi negeri Johor dan Melaka.
Program ini merupakan inisiatif MOSTI dalam memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan yang menyeronokkan, sekali gus membudayakan pemikiran kritikal, kemahiran dan inovasi berimpak tinggi dalam kalangan belia.
Seramai 2,300 peserta yang mewakili 135 buah sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari Johor dan Melaka telah berentap bagi merebut tempat ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada November 2026 di MAEPS, Serdang, Selangor.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu menyatakan bahawa matlamat utama program ini adalah untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) melalui pendekatan praktikal (hands-on), pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) serta pertandingan tidak formal yang melibatkan pelajar dan belia daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan latar belakang.
Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, penganjuran Malaysia Techlympics 2026 turut memberi penekanan kepada elemen-elemen seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, pengkomputeran dan teknologi dron. Bagi memperkukuh pendedahan awal kepada teknologi masa hadapan, MOSTI turut memperkenalkan dua pertandingan baharu berasaskan AI pada tahun ini iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI.
YBhg. Dato’ KSU juga turut mengadakan lawatan ke reruai pameran bagi meninjau pelbagai projek dan pertandingan yang dipamerkan oleh para peserta serta mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai inovasi dan kreativiti yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI bersama-sama tetamu jemputan yang lain.




