27 Ogos 2024, Putrajaya – Mesyuarat Profesion Pegawai Sains dan Medical Laboratory Scientist Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di MOSTI dan dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Persatuan Pegawai Sains Malaysia (PPSM) dan Persatuan Pegawai Sains MOSTI (PPS MOSTI).
Mesyuarat tersebut antara lainnya membincangkan mengenai hasrat YAB Perdana Menteri yang menyatakan agar 100 orang saintis menyumbang di 100 sekolah dalam usaha menarik minat murid terhadap bidang STEM. Taklimat mengenai Program 100 Saintis (STI 100³) telah disampaikan oleh Puan Uwarani A/P Krishnan, Pegawai Sains di Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI.
Selain itu, PPSM juga berhasrat untuk memberi sumbangan kepada MOSTI dalam memberikan input dan cadangan dalam merangka intipati Akta Sains Negara yang sedang digubal oleh MOSTI. PPSM turut mempelawa kerjasama dengan MOSTI dalam pelbagai program khususnya dalam penyertaan program-program pembudayaan STI.
Dalam kesibukan mempengerusikan pelbagai mesyuarat, PPS MOSTI berbesar hati dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI yang telah sudi ‘singgah sekejap’ untuk bertemu dengan kepimpinan PPSM dan PPS MOSTI. Dalam sesi pertemuan tersebut, YBhg. Dato’ Ts. Dr. KSU telah menyampaikan hasrat supaya kepimpinan PPSM dan PPS MOSTI dapat bekerjasama untuk meningkatkan tahap profesionalisme Pegawai Sains terutamanya dalam bidang Komunikasi Sains dan R&D.
PPS MOSTI juga mengucapkan TAHNIAH kepada Encik Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara, di atas pelantikan sebagai Felo Kehormat PPSM 2024-2026.