Skip to main content
News

Program Seminar R&D dan Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2024

27 Ogos 2024, Selangor – Agensi Nuklear Malaysia terus komited dalam usaha mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memelihara sumber asli dan alam sekitar. Jaringan kerjasama strategik bersama-sama pemain industri dan pihak berkepentingan adalah penting agar penggunaan teknologi nuklear dapat dimanfaatkan sekaligus menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

Selaras dengan ini, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mengadakan Program Seminar R&D dan Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2024 pada 27 hingga 29 Ogos 2024 bertempat di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Bangi, Selangor. Dengan tema bagi edisi penganjuran 2024 iaitu “Teknologi Nuklear Memacu Industri Negara dan Mengiktiraf Kecemerlangan Inovasi Sains & Teknologi Nuklear”.
Objektif utama program ini adalah bertujuan menyediakan platform bagi menemukan penyelidik, pencipta, profesional serta pihak industri untuk berkongsi pengetahuan mengenai produk dan hasil R&D, penemuan inovasi dan penyelesaian terkini melalui teknologi nuklear dalam pelbagai sektor. Ia juga mendorong kolaborasi kepakaran dan R&D tempatan merentasi pelbagai bidang serta aplikasi sains dan teknologi nuklear.
Di antara aktiviti utama pengisian program ini termasuklah sesi pembentangan sekitar 150 topik dan hasil penyelidikan oleh warga penyelidik Nuklear Malaysia, pertandingan dan pameran Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024 yang melibatkan penyertaan 50 hasil inovasi penyelidikan para penyelidik Nuklear Malaysia, pelbagai institut penyelidikan, universiti awam & universiti swasta, serta program lawatan teknikal ke beberapa kemudahan dan fasiliti penyelidikan yang terdapat di Nuklear Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Bersempena dengan program ini, Nuklear Malaysia turut menganjurkan satu sesi town hall bersama pemegang taruh mengenai Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030.
Skip to content