6–9 Julai 2026, Kelantan – Komitmen berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkukuh pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) terus membuahkan hasil apabila penyertaan Malaysia Techlympics 2026 di Kelantan kini telah melepasi 200,000 peserta, iaitu lebih dua kali ganda berbanding edisi 2025.
Pencapaian ini didorong oleh pelaksanaan Program Jangkauan Malaysia Techlympics 2026 pada 6 hingga 9 Julai 2026 yang merangkumi Latihan Guru di UMK Kampus Bachok, UMK Kampus Jeli dan MRSM Kuala Krai, serta Mini Techlympics di MRSM Kuala Krai yang melibatkan lebih 800 murid dan guru. Peserta didedahkan kepada bidang STEM, kecerdasan buatan (AI), robotik, dron dan pengaturcaraan.
Usaha ini turut diperluas melalui Program Jangkauan Komuniti di Kampung Bahagia, Kuala Krai, sebuah kawasan pendalaman (P3) bagi memastikan manfaat STI dapat dinikmati oleh masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, malah merupakan platform nasional untuk mencungkil dan membangunkan bakat STEM melalui latihan, program jangkauan sekolah dan komuniti serta laluan kepada generasi muda untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.





