2 Julai 2026, Tangkak – MOSTI terus memperkukuh usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi Program Jangkauan Malaysia Techlympics 2026 yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sengkang, Tangkak, Johor.
Program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembudayaan Sains) MOSTI, dan berjaya menghimpunkan lebih 240 murid serta guru yang menyertai pelbagai aktiviti STEM interaktif berasaskan modul Malaysia Techlympics. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Siasatan Jenayah (CSI), EZ BOT, Simulasi Dron AI, Eksperimen Rama-Rama Kromatografi serta Persembahan Robot Kancil dan Dron.
Pada majlis tersebut, MOSTI turut menyampaikan STEM Kit kepada pihak sekolah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti STEM serta membantu guru dan murid membuat persediaan menghadapi Malaysia Techlympics 2026. SK Sengkang juga bakal mewakili pertandingan di Zon Selatan.
Program Jangkauan Malaysia Techlympics merupakan inisiatif berterusan MOSTI untuk memperluas akses kepada pendidikan STEM, khususnya kepada murid dan guru di sekolah luar bandar serta pedalaman. Melalui program ini, lebih ramai bakat muda berpeluang meneroka dunia sains dan teknologi, membina kemahiran masa hadapan serta melahirkan generasi inovator yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan global.
Daftar penyertaan Malaysia Techlympics 2026 di techlympics.my




