4 Mac 2026, Shah Alam – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke AI World Experience Centre (AIWEC) yang terletak di i-City, Shah Alam, Selangor hari ini.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung terhadap fasiliti serta aplikasi terkini dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik. Selain itu, ia turut menjadi platform untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara MOSTI dan AIWEC dalam usaha memperkukuh agenda teknologi negara. Perbincangan yang diadakan juga menyentuh peranan AI dalam menyokong pembangunan ekosistem inovasi serta memperkasa bakat tempatan selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai peneraju teknologi serantau.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Ts. Dr. Noraisah binti Spahat, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik MOSTI, En. Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah MASTIC MOSTI serta pegawai-pegawai kanan MOSTI bersama wakil syarikat.




