Pengenalan kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN)
Sains,Teknologi dan Inovasi (STI) memainkan peranan penting sebagai pemboleh daya bagi memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam menangani isu dan cabaran negara. Oleh yang demikian DSTIN 2021-2030 memperkenalkan konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) bagi menunjukkan kepentingan aspek pembangunan STI sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Bagi memantapkan peranan STIE, keperluan kepada penyelarasan, pemahaman dan pembangunan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi amat mendesak kerana ia berupaya untuk mewujud dan memperkukuhkan asas untuk berinovasi serta mengaplikasikan sains dan teknologi bagi memacu ekonomi negara dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
DSTIN 2021-2030 akan memperkukuhkan pembangunan dan penggunaan teknologi tinggi meletakkan matlamat untuk mentransformasi industri dan masyarakat dari pengguna teknologi kepada pembangun teknologi, dengan memanfaatkan sumber-sumber yang sedia ada. Usaha mencapai matlamat ini disokong oleh pemerkasaan bakat tempatan, pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang-bidang strategik negara, perundangan dan peraturan yang menyokong pembangunan STI serta penaiktarafan infrastruktur teknologi termasuk teknologi digital.
DSTIN 2021-2030 ini menekankan STIE sebagai instrumen sosio-ekonomi yang berupaya mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan, inovasi, penjanaan kekayaan, keterangkuman dan kesejahteraan masyarakat. Ia akan dicapai melalui penerapan asas-asas dasar secara menyeluruh seperti berikut:
- STIE Sebagai Pemboleh Daya Utama Dalam Dasar Dan Pembangunan Negara.
- Kolaborasi Kerajaan – Industri – Ahli Akademik – Masyarakat.


