27 Januari 2026, Pulau Pinang – YBrs. Puan Norsham Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm) Pulau Pinang, salah satu institut di bawah National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM).
Lawatan ini bertujuan meninjau secara dekat pengoperasian dan kemudahan yang terdapat di kompleks berkenaan. Dalam sesi ini, YBrs. Puan Norsham telah diberikan taklimat mengenai operasi dan kemudahan yang ada serta perancangan NIBM dalam memastikan kepakaran dan fasiliti yang ada dapat diperkasa serta dimanfaatkan secara optimum untuk memacu pembangunan sektor bioteknologi negara.
NIBM-IPharm telah ditubuhkan pada 29 November 2006 sebagai pusat kecemerlangan dalam bioteknologi Kesihatan yang berperanan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang farmaseutikal dan nutraseutikal serta membangunkan produk serta perkhidmatan berasaskan bioteknologi.
Terdahulu, YBrs. Puan Norsham Abdul Latip telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi cadangan penggunaan ruang di kompleks ini.
Turut serta dalam lawatan ini adalah Puan Aidawati Misdar, Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T, MOSTI, YBhg. Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif NIBM dan YBrs. Prof. Madya Dr. Tye Gee Jun, Pengarah NIBM-IPharm.




