16 Januari 2026, Kota Kinabatangan – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melawat projek inovasi Coconut Patty Burger di Kampung Sinar Jaya, Kota Kinabatangan.
Projek yang dibangunkan oleh FWC Enterprise Kinabatangan dengan idea kreatif Encik Joardy bin Mardeko ini memanfaatkan ampas kelapa, yang biasanya dibuang, menjadi patty burger vegetarian yang sihat, berkhasiat dan mesra alam.
Inisiatif ini menunjukkan bahawa idea kecil boleh memberi impak besar apabila digarap dengan kreativiti dan ilmu.
MOSTI, melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), komited untuk membantu melahirkan lebih ramai inovator tempatan, mengangkat kearifan lokal menjadi produk yang berpotensi untuk dikembangkan dan dikomersialkan, seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat setempat.




