Skip to main content
Berita

‘Leading the Future: Women and Girls in Science Dinner Forum’

30 Mac 2026, Kuala Lumpur – YBhg. Dato’ Ts.Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyampaikan ucaptama dalam Women and Girls in Science Dinner Forum anjuran Suruhanjaya British di Malaysia bersempena dengan sambutan International Day of Women and Girls in Science.
International Day of Women and Girls in Science disambut pada 11 Februari setiap tahun sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan memastikan akses, penyertaan dan penglibatan secara penuh, adil dan saksama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi wanita dan kanak-kanak perempuan. Sambutan yang diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015 ini turut bertujuan menzahirkan komitmen masyarakat antarabangsa dalam menangani jurang gender dalam bidang sains, di samping memperkukuh agenda pemerkasaan wanita serta kesaksamaan gender.
Dalam ucaptama tersebut, Ketua Setiausaha MOSTI menegaskan kepentingan memperluas akses dan peluang yang adil serta saksama kepada wanita dan kanak-kanak perempuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang STEM. Usaha ini amat penting dalam memastikan bakat dan potensi golongan tersebut terus dipupuk sebagai pemacu kepada agenda pembangunan negara berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan wanita dalam bidang sains bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan negara, malah berperanan penting dalam merapatkan jurang gender, memperkukuh budaya inovasi dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
MOSTI sentiasa komited dalam menyokong inisiatif yang menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dan kanak-kanak perempuan dalam bidang STEM melalui pelaksanaan dasar, program pembangunan bakat, pembudayaan sains serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi antarabangsa, institusi pendidikan, industri dan rakan pembangunan.
MOSTI turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya British di Malaysia atas penganjuran forum ini dan berharap kerjasama seumpama ini akan terus diperkasakan demi melahirkan lebih ramai wanita pemimpin, penyelidik, saintis dan inovator yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.
Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh peranan dan penyertaan wanita serta kanak-kanak perempuan dalam bidang STEM, selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem sains, teknologi dan inovasi yang inklusif, mampan dan berdaya saing.
Skip to content