Skip to main content
Berita

Majlis Pelancaran The Big Programme: Corporate Innovation Forum

29 Januari 2026, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan, hari ini telah melancarkan The BIG Programme: Corporate Innovation Forum di Kuala Lumpur sebagai usaha memperkukuh inovasi sektor korporat dan mempercepatkan adaptasi teknologi baharu di bawah Belanjawan 2026.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa The BIG Programme merupakan kerjasama strategik antara MOSTI, Kementerian Kewangan (MOF) dan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) sebagai agensi pelaksana utama.
Program ini menjadi platform praktikal dan berisiko rendah untuk syarikat korporat:
* mengadaptasi teknologi baharu,
* memendekkan kitaran inovasi, dan
* menjana nilai komersial melalui kerjasama strategik dengan syarikat pemula (startup).
Dilancarkan di bawah Belanjawan 2025, Bengkel Inovasi GLC (BIG) telah menarik penyertaan 8 GLC dalam kohort perintis merangkumi sektor-sektor utama ekonomi. Berdasarkan kejayaan awal tersebut, penyertaan The BIG Programme kini diperluas kepada GLC dan Syarikat Tersenarai Awam (PLC) melalui dua trek utama iaitu Corporate–Startup Partnership dan Corporate Co-Development yang dilaksanakan melalui program berstruktur selama 12 bulan.
Selaras dengan Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021–2030 dan Pelan Tindakan KL20, peluasan The BIG Programme akan memperkukuh inovasi korporat, mempercepatkan pengkomersialan syarikat pemula serta menyokong pembangunan syarikat berkualiti—seiring aspirasi Malaysia untuk berada di kalangan 20 ekosistem startup terbaik dunia menjelang 2030.
Turut hadir, YBhg. Tuan Fabian Bigar, Ketua Setiausaha, Kementerian Digital, YBrs Puan Norsham bt Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Encik Norman Matthieu Vanhaecke, CEO Cradle, pihak industri serta tetamu jemputan.
Pengumuman:
Syarikat GLC dan PLC yang berminat untuk menyertai The BIG Programme boleh menghubungi big@cradle.com.my.
Skip to content