8 Disember 2025, Bangi – Negara berdepan cabaran seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, pencemaran dan ketidakseimbangan sosioekonomi yang menuntut pembangunan lebih holistik dan lestari. Kelestarian kini menjadi keperluan asas dan tanggungjawab bersama, merangkumi pengurusan sumber, dasar, penyelidikan, inovasi dan gaya hidup. Malaysia komited melaksanakan SDG 2030 melalui Majlis SDG Negara dan Pusat SDG Negara bagi memastikan pembangunan selari dengan prinsip kelestarian global.
Ini antara intipati ucapan YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sustainability Challenge 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau turut menegaskan peranan Kementerian melalui STI dalam usaha mencapai net zero 2050 termasuk pembangunan tenaga hidrogen melalui projek HyPERactor di Perkampungan Orang Asli Tibang.
Universiti juga memainkan peranan penting dalam pembangunan mampan melalui pendekatan quadruple helix, dan UKM membuktikan komitmen tersebut menerusi program Sustainability Challenge 2025 yang menggalakkan penyelidikan dan inovasi kelestarian dengan penglibatan pelajar, pensyarah dan komuniti.
YBhg. Prof. Sr. Dr. Adi Irfan Che Ani, Pro-Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Prof. Dr. Zainuddin Sajuri, Dekan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Prof. Ir. Dr. Hassimi Abu Hassan, Ketua Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO), YBrs. Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Wan Nor Roslam Wan Isahak, Pengerusi Pertandingan Sustainability Challenge 2025, para juri dan peserta yang terlibat.




