Skip to main content
Berita

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PUSPANITA MOSTI Kali Ke-43

13 Februari 2026, Kajang- YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PUSPANITA MOSTI Kali Ke-43 yang berlangsung di Agensi Nuklear Malaysia.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa wanita merupakan tulang belakang organisasi serta memainkan peranan strategik dalam memimpin, merancang dan melaksanakan program kebajikan serta pembangunan masyarakat. Beliau turut menyifatkan ahli PUSPANITA sebagai agen perpaduan dan nadi penggerak yang berjaya mengimbangi kerjaya, keluarga dan tanggungjawab sosial sekali gus menjadikan PUSPANITA sebuah platform signifikan dalam memperkasa potensi wanita secara menyeluruh.
Mesyuarat turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Penasihat PUSPANITA MOSTI bersama YBhg. Datin Seri Roslina binti Mior Adlan, Pengerusi PUSPANITA MOSTI. Hadir sama memberikan sokongan ialah YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI merangkap Timbalan Pengerusi 1; YBhg. Datin Nor Azah binti Jamaluddin, Timbalan Pengerusi 2; YBrs. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi serta para AJK dan ahli PUSPANITA MOSTI.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Slot Bicara Sains melalui Ceramah Inspirasi Sains yang bertujuan menyuntik minat dan semangat inovasi dalam kalangan ahli. Majlis juga turut diserikan dengan Penyampaian Sijil Penghargaan AJK Sesi 2024/2026, Penyampaian Anugerah PUSPANITA MOSTI Tahun 2025 serta pengumuman pelantikan barisan Jawatankuasa baharu Sesi 2026/2028.
Semoga PUSPANITA MOSTI terus cemerlang sebagai tonggak pemerkasaan wanita seterusnya menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi negara ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang.
Skip to content