Skip to main content
Berita

Majlis Perjumpaan YB Menteri MOSTI Bersama Warga MOSTI

11 Mac 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menghadiri Majlis Perjumpaan bersama warga MOSTI dan disusuli dengan Majlis Iftar Ramadan. Dalam ucapannya, YB Menteri mengalu-alukan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang baharu dan merakamkan penghargaan di atas jasa dan kepimpinan YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad yang bertukar sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Kesihatan Malaysia.
YB Menteri juga menegaskan bahawa dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), MOSTI memikul mandat untuk memacu ekonomi bernilai tinggi berasaskan STI. Penekanan diberikan kepada dasar berasaskan data menerusi MASTIC, seiring aspirasi Malaysia untuk berada dalam 20 negara teratas Indeks Inovasi Global menjelang 2030.
MOSTI juga turut memperkukuh ekosistem inovasi melalui pengkomersialan teknologi di bawah NTIS dan MySTI, selain memacu pembangunan vaksin tempatan melalui MVPO dengan sasaran pengeluaran menjelang 2028. Aspek pembudayaan STEM turut diperkasa melalui program outreach seperti Rehlah Sains bagi memastikan komuniti luar bandar dan sekolah agama tidak tercicir dalam kemajuan teknologi.
Sempena bulan Ramadan, Surau Ar-Raudhah As-Sakinah MOSTI turut menyalurkan sumbangan zakat kepada penerima yang layak, sumbangan penghargaan kepada Pegawai Keselamatan yang akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri serta sumbangan khas PUSPANITA Cawangan MOSTI kepada ahli yang kehilangan ahli keluarga.
Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia; YBhg. Datin Vanitha a/p Rukmagundan, Pengerusi PUSPANITA Cawangan MOSTI; YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI; YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Ahli Mesyuarat Pasca Kabinet serta warga MOSTI.
Skip to content