Skip to main content
Berita

Majlis Sambutan Penghargaan Pencapaian 5 Tahun National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) Sempena Simposium 5 Tahun NTIS

12 Februari 2026, Shah Alam – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Sambutan Penghargaan Pencapaian 5 Tahun π‘π‘Žπ‘‘π‘–π‘œπ‘›π‘Žπ‘™ π‘‡π‘’π‘β„Žπ‘›π‘œπ‘™π‘œπ‘”π‘¦ π‘Žπ‘›π‘‘ πΌπ‘›π‘›π‘œπ‘£π‘Žπ‘‘π‘–π‘œπ‘› π‘†π‘Žπ‘›π‘‘π‘π‘œπ‘₯ (𝑁𝑇𝐼𝑆) sempena Simposium 5 Tahun NTIS.
Majlis yang bertemakan “Daripada Wacana Kepada Pelaksanaan” telah berjaya menghimpunkan pelbagai agensi pengawal selia, alumni, dan pemain industri bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara melalui penyelarasan regulatori dan pemadanan perniagaan yang strategik. Selain menjadi platform perkongsian pengalaman dan pembukaan laluan pasaran, majlis ini turut memberi pengiktirafan kepada syarikat serta rakan kerjasama yang telah menyumbang kepada kejayaan program 𝑁𝑇𝐼𝑆 dalam memacu pembangunan teknologi serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Program 𝑁𝑇𝐼𝑆 mencatatkan pencapaian luar biasa di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan menyokong 101 teknologi tempatan yang menghasilkan nilai pengkomersialan berjumlah RM171.8 juta. Kejayaan ini bukan sahaja mempercepatkan peralihan prototaip ke pasaran malah turut mencipta 333 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor bernilai tambah sekali gus memperkukuh daya saing bakat serta ekonomi negara melalui inovasi yang diterajui oleh pelbagai sektor strategik seperti AI dan teknologi hijau.
Menjelang peralihan ke Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), 𝑁𝑇𝐼𝑆 kini mengorak langkah strategik dengan menstruktur semula skim geran bagi memfokuskan kepada penskalaan teknologi dan penerapan penyelesaian secara meluas. Transformasi ini turut menyaksikan penyertaan universiti serta institusi penyelidikan dalam ekosistem sandbox bagi memastikan hasil penyelidikan akademik dapat dihubungkan terus dengan fasa pengkomersialan untuk impak sosioekonomi yang lebih nyata.
Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Hj Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Prof. Dr. Rofina Yasmin binti Othman, Pengerusi MRANTI, YBrs, Encik Ashran bin Dato’ Ghazi, barisan Pengurusan MOSTI, MRANTI, MTDC dan MIMOS serta peserta- peserta SIMPOSIUM.
Skip to content