8 Disember 2025, Putrajaya – Pelan Tindakan KL20 terus berusaha menempatkan Malaysia dalam kedudukan 20 ekosistem startup global teratas menjelang 2030. Tindakan intervensi yang holistik bersama agensi kerajaan, sektor swasta dan akademia perlu diperhebatkan bagi memastikan semua inisiatif Pelan Tindakan KL20 mencapai sasaran dan memberi impak maksimum kepada pembangunan ekosistem startup negara.
Ini merupakan agenda perbincangan utama Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan KL20 Bilangan 2 Tahun 2025, yang dipengerusikan bersama oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan II, dan YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Kementerian Kewangan hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian serta wakil-wakil agensi pelaksana bagi inisiatif utama KL20.




