Skip to main content
Berita

MOSTI–Nuklear Malaysia Perkukuh Jaringan Komunikasi Teknologi Nuklear Melalui Pengamal Media

3 Disember 2025 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Program Media Showcase YB Menteri MOSTI bersama pengamal media tempatan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia di Bangi.

Program bermula dengan lawatan ke fasiliti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), satu-satunya reaktor penyelidikan negara yang dikendalikan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Lawatan ini membuka ruang kepada pengamal media untuk melihat secara dekat operasi reaktor yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, penyelidikan saintifik serta penerapan aplikasi nuklear dalam sektor industri, perubatan, pertanian dan alam sekitar.
Dalam ucapannya, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, merakamkan penghargaan kepada para pengamal media atas kerjasama berterusan serta menyeru agar media terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berfakta mengenai teknologi nuklear kepada masyarakat.
Program Media Showcase ini turut menjadi platform interaktif yang mempertemukan MOSTI, Agensi Nuklear Malaysia dan pengamal media bagi memberi pendedahan kepada demonstrasi teknologi, penjelasan dasar nuklear negara serta peranan MOSTI dalam memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi nasional.
Terdahulu, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, telah menyampaikan taklimat khas mengenai perkembangan teknologi nuklear di Malaysia, termasuk peranan strategik agensi dalam penyelidikan, aplikasi dan pembangunan kapasiti selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.
Program ini turut memperkukuh hubungan strategik antara MOSTI, institusi penyelidikan dan media sebagai rakan penyampaian maklumat yang tepat dan bertanggungjawab dalam meningkatkan literasi teknologi nuklear negara.
Turut hadir ialah YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta pihak pengurusan MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia.
Skip to content