Skip to main content
Berita

Peluncuran Dana Pengkomersialan MOSTI

13 Februari 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Dana Pengkomersialan MOSTI yang berlangsung di Atrium Peterana, MOSTI dan turut dihadiri bersama YB Dato’ Dr. Hj Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Puan Norsham bt Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Encik Ashran bin Dato’ Ghazi, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, barisan pengurusan MOSTI dan pemegang taruh yang terlibat.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendekatan baharu ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan inovasi negara tidak terhenti di peringkat penyelidikan semata-mata, sebaliknya mampu menembusi pasaran dan memberikan pulangan yang bermakna kepada negara. Menurutnya lagi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan memberi penekanan tegas bahawa setiap pelaburan awam mesti menghasilkan impak yang nyata dan boleh diukur, termasuk pelaburan dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I).
Cabaran utama ekosistem inovasi negara ketika ini bukanlah kekurangan idea atau bakat, tetapi jurang antara hasil R&D dengan keupayaan teknologi tempatan untuk menembusi pasaran sebenar. Banyak teknologi tempatan telah berjaya dibangunkan dan diuji, namun berdepan kesukaran untuk digunakan oleh industri atau diterima pasaran. Jurang inilah yang perlu kita tangani secara sistemik.
Dana Pengkomersialan ini bukan sekadar skim pembiayaan, tetapi merupakan instrumen pelaksanaan strategik yang menggabungkan sokongan pendanaan dengan pembangunan keupayaan serta bimbingan secara langsung (hands-on). Pendekatan ini bertujuan memastikan pelaburan R&D kerajaan diterjemahkan kepada penerimagunaan sebenar, kesiapsiagaan pasaran dan penskalaan yang mampan.
Permohonan bagi Dana Pengkomersialan MOSTI akan dibuka mulai 1 Mac 2026. Pihak MOSTI mengalu-alukan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana, penyelidik, dan syarikat pemula yang berpotensi untuk memanfaatkan dana ini dalam memperkukuh daya saing teknologi tempatan di peringkat nasional dan global.
Skip to content