3 Mac 2026, Kuala Lumpur – Fenomena Gerhana Bulan Penuh 2026 telah berjaya dicerap dengan sempurna malam ini melalui program pencerapan eksklusif yang berlangsung di Dek Pemerhatian, Aras 118, Menara Merdeka 118.
Sesi pencerapan istimewa ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI serta YBhg. Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PMV) bersama pegawai kanan MOSTI dan Planetarium Negara.
Program anjuran bersama MOSTI, Planetarium Negara dan PMV ini juga disertai wakil Jabatan Mufti serta Ahli Jawatankuasa Falak bagi meninjau potensi Aras 118 sebagai tapak cerapan rasmi bagi fenomena astronomi pada masa hadapan.
Sejurus selepas sesi pencerapan, majlis diteruskan dengan pelaksanaan Solat Sunat Gerhana dan khutbah khas di Masjid Sultan Abdullah, Merdeka 118. Selaras dengan inisiatif merakyatkan sains angkasa, orang ramai turut membanjiri perkarangan Planetarium Negara untuk menyaksikan fenomena ini melalui dua buah teleskop yang disediakan bagi tujuan cerapan awam serta tayangan siaran langsung di Teater Angkasa.
Program ini juga turut disokong oleh kerjasama strategik daripada Dark Sky Malaysia yang menyediakan siaran langsung dari Kudat, Sabah. Meskipun cuaca di Kuala Lumpur agak berawan berikutan hujan pada sebelah petang, bulan mula kelihatan sekitar jam 8.15 malam di ibu negara, manakala pemerhati di Sabah menikmati pemandangan gerhana seawal jam 7.50 malam.
Pemilihan Aras 118 sebagai lokasi pencerapan didapati sangat strategik memandangkan kedudukan bulan yang berada rendah di ufuk pada awal fenomena. Ketinggian menara ini membolehkan pasukan cerapan memperoleh pandangan tanpa halangan serta menilai kesesuaian lokasi tersebut untuk pencerapan anak bulan pada masa hadapan.




