Skip to main content
Berita

Projek Rintis MyHackathon–Sistem ServIT Smart City Tanjung Malim, Perak

14 Disember 2025 – Majlis Pelaksanaan Projek Rintis MYHackathon – Sistem ServIT Smart City bagi Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan (MDTM) telah dirasmikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan turut dihadiri oleh YBrs Tuan Roslan bin Kamaruzaman A.M.P, Setiausaha MDTM dan YBrs. En. Harmender Singh, Naib Presiden Kanan SUPER PMO & Projek Khas, Cradle.
Program MYHackathon yang bertemakan “Hackathon Nasional untuk Malaysia MADANI” diwujudkan bagi menggalakkan pembangunan penyelesaian teknologi oleh startup tempatan untuk menangani cabaran sebenar yang dihadapi oleh agensi, jabatan mahupun Kementerian.
MOSTI bersama Cradle Fund terus komited memacu penyelesaian inovasi tempatan melalui pelaksanaan Projek Rintis MYHackathon 2024 hasil kolaborasi strategik bersama Majlis Daerah Tanjong Malim.
ServIT Sdn Bhd, pemenang MYHackathon 2024 bagi penyelesaian masalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dikemukakan oleh MDTM, telah membentangkan penyelesaian ServIT Smart City. Pembentangan ini disampaikan oleh Ir. Ajmal Suria, Pengarah ServIT Sdn Bhd bersama Dr. Mohd Yazed Ahmad, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya.
ServIT Smart City memanfaatkan data masa sebenar bagi meningkatkan kecekapan pengurusan lampu jalan dan pemantauan pengutipan sisa pepejal, sekali gus memperkukuh kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan kepada rakyat.
Projek rintis ini merupakan salah satu daripada 12 solusi yang diketengahkan menerusi MYHackathon 2024, mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dalam menghubungkan teknologi, kerajaan dan startup tempatan bagi membangunkan solusi pintar serta berpotensi untuk dikomersialkan.
Inisiatif ini juga membuktikan keupayaan startup Malaysia dalam menghasilkan teknologi yang praktikal, moden dan memberikan impak segera kepada kesejahteraan rakyat.
Skip to content