Skip to main content
Berita

Sambutan Bulan Integriti Nasional dan Hari Intergriti Peringkat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 2025

12 November 2025, Putrajaya – Sempena Bulan Integriti Nasional 2025, Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Program Sambutan Hari Integriti MOSTI 2025 bertemakan “Integriti Teras Kesejahteraan Negara”. Tema ini menekankan bahawa integriti merupakan asas utama dalam membina kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam serta menjadi tunjang kepada keberkesanan tadbir urus dan kesejahteraan negara.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, yang menegaskan bahawa warga MOSTI perlu menjadikan integriti sebagai nilai teras dalam membuat keputusan, mengurus sumber serta melaksanakan amanah rakyat. Datuk Seri KSU juga turut menekankan bahawa pembangunan sains, teknologi dan inovasi hanya akan memberi impak tinggi sekiranya disokong oleh sistem dan warga kerja yang beretika, telus serta bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah.
Antara pengisian utama program ialah ceramah khas oleh Puan Fareedah Kamarulzaman daripada Transparency International Malaysia bertajuk “Integrity First: Strengthening Ethics in Government Agencies” dan ceramah motivasi oleh Saudara Syamsul Debat bertajuk “Integriti Teras Kesejahteraan Negara”.
Majlis turut menyaksikan pelancaran serta penyerahan Buku Garis Panduan Pengurusan Aduan (Integriti) MOSTI oleh Ketua Unit Integriti, YBrs. PKPj Wong Chiew Hoong, kepada Ketua Setiausaha MOSTI. Buku panduan ini dirangka sebagai dokumen rujukan rasmi bagi pengendalian aduan berkaitan salah laku dan isu integriti di MOSTI dengan objektif menyeragamkan tatacara pengurusan aduan secara sistematik dan telus serta memupuk keyakinan warga kerja dan masyarakat terhadap sistem pengurusan aduan kementerian.
Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Bahagian MOSTI, wakil-wakil Jabatan dan Agensi serta warga MOSTI.
Skip to content