13 Januari 2026, Johor Bahru – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan perasmian Retreat KIMIA Malaysia Bil. 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Sunway Big Box, Sunway City Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Program retreat ini menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi Jabatan Kimia Malaysia dari ibu pejabat serta pengarah-pengarah negeri dan cawangan seluruh negara bagi menyelaras hala tuju strategik jabatan.
Sebagai pembuka tirai pada malam sebelumnya, telah diadakan Majlis Gala Dinner yang turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri, sekali gus meraikan pesara-pesara KIMIA Malaysia dalam kalangan pengurusan tertinggi sebagai penghargaan atas segala jasa dan sumbangan mereka.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Seri menekankan bahawa penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi kini menjadi satu keperluan utama. Langkah ini selari dengan pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta memperkukuh tadbir urus jabatan.
Melalui platform ini, kebersamaan kepimpinan dapat diperkukuh dalam membina budaya kerja yang lebih efisien, berintegriti, dan berimpak tinggi. Komitmen ini adalah bagi memastikan KIMIA Malaysia terus kekal sebagai agensi rujukan sains yang unggul di peringkat nasional mahupun antarabangsa.




