Skip to main content
Berita

Sesi Kunjungan Hormat MOSTI ke atas YB Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang

3 Februari 2026, Kuantan – YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas YB Dato’ Mohamad Nizar Bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Sesi kunjungan ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha memperkukuh Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat negeri. Lawatan ini merupakan susulan kepada Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai STI (MEXCO-STI) yang telah dipengerusikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 10 November 2025.
Dalam sesi tersebut, MOSTI membentangkan pencapaian terkini Indeks Inovasi Malaysia (MII) bagi Negeri Pahang, termasuk sorotan prestasi utama yang menggambarkan kedudukan serta kekuatan negeri tersebut dalam ekosistem inovasi negara. MOSTI juga turut berkongsi dapatan Laporan Foresight Future of STEM Talent yang menekankan bidang keutamaan dalam pembangunan bakat STEM bagi menyokong agenda pembangunan negara. Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik inisiatif dan komitmen MOSTI serta menyatakan kesediaan untuk memperluas sinergi strategik bersama Kementerian, khususnya dalam bidang STEM.
Selain itu, MOSTI telah membuat pembentangan berhubung insiatif teknologi HyperReactor oleh NanoMalaysia Berhad (NMB) sebagai inisiatif bekalan tenaga elektrik di kawasan pedalaman. MOSTI juga sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam peluasan aplikasi teknologi HyperReactor di Negeri Pahang.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan KIMIA Pahang serta delegasi MOSTI daripada Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Planetarium Negara, Pusat Sains Negara dan urus setia MEXCO-STI.
Selesai kunjungan hormat, YBrs. Puan TKSU (T) telah meluangkan masa melawat Jabatan KIMIA Pahang. Semasa sesi lawatan tersebut, beliau telah di bawa melawat ke Makmal Sekitaran dan Narkotik serta menerima penerangan ringkas berhubung pengoperasian makmal tersebut.
Skip to content