Skip to main content
Berita

Sesi Kunjungan Hormat MOSTI ke atas YB Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

26 Januari 2026, Pulau Pinang – YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas YB Tuan Jagdeep Singh Deo, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi Negeri Pulau Pinang di KOMTAR.
Sesi kunjungan ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha memperkukuh pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat negeri. Lawatan ini merupakan susulan kepada Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai STI (MEXCO-STI) yang telah dipengerusikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 10 November 2025.
Antara fokus utama perbincangan adalah keperluan pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang, termasuk inisiatif dan kerjasama sedia ada antara Kerajaan Negeri dan pihak industri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Dalam sesi yang sama, MOSTI turut membentangkan pencapaian terkini Malaysian Innovation Index (MII) bagi Negeri Pulau Pinang, termasuk sorotan prestasi utama yang menggambarkan kedudukan serta kekuatan negeri tersebut dalam ekosistem inovasi negara.
Selain itu, MOSTI turut berkongsi dapatan Laporan Foresight Future of STEM Talent yang menekankan bidang keutamaan dalam pembangunan bakat STEM bagi menyokong agenda pembangunan negara. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik inisiatif dan komitmen MOSTI serta menyatakan kesediaan untuk memperluas sinergi strategik bersama Kementerian, khususnya dalam bidang STEM dan pembangunan modal insan berasaskan teknologi.
Delegasi MOSTI turut berpeluang melawat Tech Dome Penang, sebuah pusat sains dan teknologi yang menyediakan akses kepada rakyat untuk menerokai pameran serta aplikasi teknologi terkini seperti dron, robotik, kecerdasan buatan dan pelbagai kemudahan pembelajaran berasaskan sains dan teknologi. Lawatan ini memberi pendedahan terhadap peranan Tech Dome sebagai platform pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya generasi muda.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Richard Chung, Ketua Pegawai Eksekutif Penang STEM, YBhg. Dato’ Ooi Peng Ee, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Science Cluster, Encik Johnny Ong dari Penang Math Platform dan Encik J. Philip Vincent, Penasihat Industri kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang serta delegasi MOSTI yang diwakili oleh Pegawai-pegawai kanan MOSTI dan Jabatan Kimia Pulau Pinang.
Skip to content