Skip to main content
Berita

Sesi Penggulungaan Belanjawan 2026 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Dewan Negara

15 Disember 2025 – Sesi Penggulungan Belanjawan 2026 bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dibacakan oleh YB Berhormat Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini di Dewan Negara. Sesi ini melibatkan tujuh (7) orang pembahas dengan lapan (😎 isu utama yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator sepanjang tempoh perbahasan bermula 2 hingga 9 Disember 2025.
Antara isu yang dibincangkan merangkumi aspek dana geran dan pembiayaan bagi syarikat pemula, pembangunan teknologi serta bakat dalam industri semikonduktor, peranan MOSTI dalam sektor hiliran industri unsur nadir bumi (REE), serta usaha pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) di peringkat nasional.
Bagi tahun 2026, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) negara, memperkukuh pembudayaan STI dan pembangunan bakat, serta menggalakkan penskalaan syarikat pemula teknologi tempatan. Seiring dengan itu, MOSTI akan terus memperkasa pembiayaan dana, khususnya dalam aspek pengkomersialan teknologi tempatan, bagi melahirkan pencipta teknologi yang berdaya saing di peringkat serantau ASEAN dan global.
Turut hadir, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Puan Norsham bt Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI serta wakil-wakil Bahagian, Jabatan dan Agensi berkaitan.
Skip to content