11 Januari 2026, Jiangsu, China – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Bioeconomy Corporation Malaysia serta rakan pelaksana Program Malaysia Techlympics 2025 telah membawa pemenang peringkat kebangsaan acara Cabaran SkyTech Global Malaysia Techlympics 2025 ke Wuxi, China bagi menyertai World Robot Contest (WRC) Final 2025 Drone Competition. Pertandingan bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh China Institute of Electronics di bawah Ministry of Industry and Information Technology (MIIT), China.
Wakil Malaysia terdiri daripada dua orang pelajar dari SMK Semambu, Pahang dan dua orang pelajar dari SK Long Boh, Perlis yang merupakan pemenang acara G-SKY Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan di MITC, Melaka pada November lalu. Pertandingan ini menguji keupayaan peserta dalam pengaturcaraan serta kawalan manual penerbangan dron melalui laluan halangan yang ditetapkan.
Sepanjang pertandingan, wakil Malaysia telah mempamerkan tahap profesionalisme, ketenangan dan semangat kesukanan yang tinggi. Sebagai pengiktirafan, pihak penganjur telah menganugerahkan Best Spirit Award dan Best Presence Award kepada kedua-dua pasangan wakil Malaysia.
Penglibatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dalam memperkasa bakat muda negara serta memperluas pendedahan pelajar Malaysia ke platform pertandingan teknologi bertaraf antarabangsa, selaras dengan aspirasi pembangunan ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara.




