Skip to main content
Berita

PLANET KIARA : MEMPOPULARKAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELALUI DRAMA

By 2012-12-13Disember 14th, 2020No Comments

10

 

Kuala Lumpur, 13 Disember 2012 – Pusat Sains Negara telah melangkah ke satu tahap baru apabila buat julung kalinya menerbitkan drama bersiri televisyen berjudul Planet Kiara. Drama yang akan bersiaran di kaca televisyen sebanyak 26 episod ini pastinya mencetus suasana baru dan membawa kelainan kerana ia merupakan drama bersiri yang menerapkan elemen saintifik dalam jalan ceritanya.

Bersempena dengan penerbitan drama ini, Pusat Sains Negara bekerjasama dengan Bleu Nagas Productions menganjurkan Majlis Pelancaran Drama Bersiri Planet Kiara pada hari ini yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mewakili Y.B. Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat dan media massa mengenai penerbitannya dan memberikan nafas baru kepada fungsi Pusat Sains Negara selaku peneraju pendidikan sains dan teknologi tidak formal di Negara ini.

Drama Planet Kiara ini yang mengetengahkan konsep sains dan teknologi dengan gabungan robotik dan CGI (Computer-Generated Imagery) telah dibangunkan dan dipersembahkan secara mudah dan jelas. Melalui cara ini masyarakat akan lebih memahami dan menerima sains kerana ianya disampaikan secara praktikal dan mengaplikasikan STI dalam kehidupan seharian.

Drama Planet Kiara juga bertujuan untuk meningkatkan profil sains di kalangan pelajar yang bakal menyumbang kepada lebih ramai anak muda memilih bidang sains di peringkat pengajian tinggi, mempopularkan dan meramah masyarakatkan sains kepada rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Drama Planet Kiara mengisahkan kehidupan seharian keluarga Prof. Johari dan anak-anaknya iaitu Adam, Tasya, Cahya, Aril dan robot PSN-1 di sebuah kota. Pada setiap siri, konsep sains akan ditonjolkan dengan huraian jawapan melalui interaksi kekeluargaan. Diharap penerbitan drama bersiri Planet Kiara ini akan dapat memberi nafas baru dalam penyampaian sains dan teknologi serta dapat mencetus populariti bidang sains di kalangan masyarakat pada masa kini.

Drama Planet Kiara ini dijangka akan menjangkau sekurang-kurangnya satu juta masyarakat Malaysia pada setiap kali tayangan. Ia dijadualkan menemui penonton mulai 27 Disember 2012 (Khamis), jam 6:30 petang di TV3. Sebanyak 26 episod ke semuanya. 13 episod pertama ditayangkan mulai awal tahun 2013 dan ia akan diulang tayang sebelum 13 episod kedua menemui penonton.
Dalam masa yang sama, diharap siri drama Planet Kiara ini akan memberi tempias kepada Pusat Sains Negara, jabatan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mengukuhkan peranan dan menonjolkan keterampilan PSN sebagai institusi pembelajaran tidak formal yang unggul di Malaysia.
Skip to content