Skip to main content
Berita

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

13 Mei 2024, Kuala Lumpur – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang diketuai oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Baginda menzahirkan pandangan akan kepentingan negara menjalankan lebih banyak program penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan industri seterusnya melahirkan lebih ramai pembangun teknologi. Negara mesti beranjak daripada sebuah negara pengguna kepada negara pengeluar kerana Baginda yakin ramai rakyat Malaysia yang berpengetahuan dan berpotensi tinggi.
Model pembangunan tinggi dan sistematik dalam kalangan negara serantau boleh dicontohi dan diaplikasi mengikut acuan tempatan. Baginda juga menzahirkan keprihatinan mengenai kepentingan faedah program-program pembangunan MOSTI dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk generasi muda.
Baginda berkenan untuk melihat sendiri program teknologi angkasa yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MySA) dan merasmikan Majlis Penutup Malaysia Techlympics 2024.
Hadir sama YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ts Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Dr Noraisah binti Sapahat, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik MOSTI.
Skip to content