Skip to main content
Berita

Program Technical Advisory Mission 2024 (TAM2024)

16 Mei 2024, Kuala Lumpur – MOSTI melalui Bahagian Penguasa Angkasa dan Agensi Angkasa Malaysia bersama United Nations Office for Outer Space Affairs telah menganjurkan Program Technical Advisory Mission 2024 (TAM2024) dalam usaha memperkasakan pembangunan kepakaran tempatan dari aspek perundangan dan teknologi angkasa domestik dan antarabangsa.

TAM2024 adalah siri projek yang diwujudkan oleh UNOOSA yang dikenali sebagai The Space Law for New Space Actors. Ini adalah salah satu usaha untuk memperkasakan negara ahli termasuk Malaysia dalam memastikan agenda angkasa masing-masing dilaksanakan dengan selamat dan selari dengan undang-undang antarabangsa. Melalui projek ini, UNOOSA menawarkan peluang pembangunan kapasiti dalam undang-undang angkasa serta khidmat nasihat perundangan kepada badan penguatkuasa angkasa di negara-negara yang masih baharu dalam aktiviti angkasa.
Fokus penganjuran TAM2024 kali ini adalah menjurus kepada perundangan pengoperasian tapak pelancar (spaceport) melalui pemberian permit dan pelesenan objek angkasa selari dengan keperluan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] dan menyokong kepada pelan tindakan Dasar Angkasa Negara – Malaysian Space Exploration 2030.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dalam ucapanya semasa majlis penutupan program TAM2024 menekankan kepentingan setiap negara mempunyai ekosistem angkasa yang lengkap dan mematuhi perundangan antarabangsa.
Secara keseluruhannya, program ini telah melibatkan penyertaan sejumlah besar pakar antarabangsa iaitu seramai 15 orang yang mana tujuh (7) daripadanya telah hadir secara fizikal manakala lapan ( 8 ) lagi pakar terlibat secara dalam talian (online) dengan melebihi 65 penyertaan yang terdiri daripada anggota Lembaga Angkasa Malaysia, wakil-wakil Kementerian, Jabatan, Agensi, Bahagian-Bahagian di MOSTI, Kerajaan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi dan pemain industri yang berkaitan sektor angkasa.
Skip to content