Skip to main content
Berita

Program Kembara Komuniti: “Kecilkan Jejak, Besarkan Impak”

21 Mei 2024, Sabah – MOSTI menerusi agensinya, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), telah melancarkan Program Kembara Komuniti: “Kecilkan Jejak, Besarkan Impak” yang bertemakan ‘Ada Sisa, Jadi Bisnes Bah!’ di Kampung Melangkap Tiong hari ini.

Melalui program ini, 30 orang petani dari Kampung Melangkap Kapa dan Kampung Tanginambur di bawah Pertubuhan Peladang Kota Belud akan menjalani kursus latihan selama enam bulan bagi mendalami kemahiran mengitar semula sisa pertanian untuk dijadikan baja berasaskan bio berkualiti tinggi menggunakan teknologi vermikompos.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timablan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata program ini menggalakkan penggunaan dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) di kalangan petani dan membuktikan STI mudah diterapkan dalam kehidupan seharian.
“Dengan menguasai teknik vermikompos menggunakan cacing tanah African nightcrawler, peserta mampu menghasilkan tanaman seperti durian, avocado, sayuran dan kacang panjang berkualiti tinggi yang lebih berdaya tahan terhadap penyakit dan serangan serangga. Peserta juga berpotensi untuk menjana pendapatan bersih sebanyak RM5,200 sebulan berdasarkan penjualan 2,000 kg baja vermikompos. Usaha mereka akan meningkatkan taraf hidup di sekitar kawasan Kampung Melangkap Kapa dan Kampung Tanginambur serta memastikan bekalan makanan yang selamat dan terjamin. Saya yakin semua peserta bakal membangunkan Kota Belud sebagai pusat pengeluaran tanaman lestari di Sabah melalui aplikasi teknologi vermikompos,” ucap beliau semasa perasmian majlis pelancaran program itu.
Program Kembara Komuniti itu dijalankan dengan kerjasama Bioxpert Sdn Bhd (Bioxpert), pengeluar produk baja vermikompos organik selaku penyedia teknologi, serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk memudahkan pertukaran ilmu dan pemindahan teknologi antara pelajar, pakar industri dan Bioeconomy Corporation selaku pemacu industri.
Skip to content