Skip to main content
Berita

Pelancaran Portal MY-AI

24 Mei 2024, Kuala Lumpur – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi hari ini secara rasmi melancarkan Portal MY-AI di MIMOS Berhad, Bukit Jalil
Portal MY-AI adalah sebuah portal nasional pertama dalam talian mengenai sumber dan isu-isu kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang dibangunkan, dihoskan dan diselenggara oleh MIMOS, sebuah agensi di bawah MOSTI dan merupakan langkah strategik dalam menyediakan sumber High-Performance Computing (HPC) yang merangkumi pautan kepada sumber pengetahuan, program latihan, alatan bantu (tools), dan saluran maklum balas untuk AI. Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk memacu perkembangan dan penggunaan AI demi manfaat ekonomi dan sosial Malaysia.
Sebagai langkah sementara, Portal ini akan menyediakan pautan kepada Penyedia Cloud Service (CSP) sedia ada bagi mana-mana pengguna yang memerlukan perkhidmatan tersebut. MIMOS juga merancang untuk bekerjasama dengan rakan industri dan institusi akademik dalam masa terdekat untuk menubuhkan dan menyediakan sumber HPC bagi pelajar Malaysia, memastikan penggunaan produktif mereka melalui sistem yang tersusun.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal berkata “Dengan peluncuran Portal MY-AI ini, MOSTI berharap inovasi AI di Malaysia dapat ditingkatkan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Portal ini akan menjadi pusat rujukan utama bagi para penyelidik, pelajar, dan cendekia profesional dalam bidang AI, menyediakan akses kepada sumber pengetahuan, alatan bantu, dan program latihan terkini.”
Dengan ciri-ciri yang komprehensif, Portal MY-AI akan mempercepatkan pembangunan dan penggunaan AI, dan juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan teknologi dan ekonomi Malaysia, menjadikan negara kita sebagai peneraju dalam inovasi AI di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.
Layari portal MY-AI di https://my-ai.my
Skip to content