Skip to main content
Berita

Hari Istimewa Sains (Special Science Day, SSD) 2024

“Dimensi Dunia Istimewa” mewarnai Hari Istimewa Sains (Special Science Day, SSD) 2024, anjuran Pusat Sains Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Menambah seri penganjuran SSD kali ini adalah penampilan khas oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail.
Seramai 2,000 OKU menyertai program khidmat sosial tahunan PSN bertujuan untuk menggalakkan di samping meraikan penglibatan OKU dalam aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Penganjuran SSD akan membawakan konsep bermain sambil belajar melalui lima (5) deria utama iaitu penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran.
Pelbagai aktiviti telah dirancang antaranya demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori, aktiviti kreatif hands-on serta pameran dari agensi dan organisasi berkaitan OKU. Ianya direka khas agar bersesuaian dengan keupayaan peserta seperti aktiviti melibatkan kemahiran sensori dan kognitif.
Kemuncak kepada program ini adalah penyerahan kit STEM Pendidikan Khas kepada jemputan pelajar sekolah dan organisasi yang hadir sebagai simbolik penghargaan dan tanda kasih PSN kepada semua OKU yang hadir dan sama-sama membudayakan STI. Selain daripada itu, ia juga menandakan pendirian dan sokongan MOSTI terhadap hak serta peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk OKU untuk menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang STI.
Penganjuran aktiviti sepanjang SSD 2024 melibatkan kolaborasi PSN bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan antaranya Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bahagian Pendidikan Khas (BP Khas) KPM, PERMATA Kurnia, Bahagian PERMATA, KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Turut hadir adalah YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan isteri, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Encik Mohammad Fuad Bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara.
Skip to content