Skip to main content
Berita

Produk Berasaskan Sarang Burung Premium Bernilai RM25 Juta Setahun Bakal Dikeluarkan oleh Pusat Bioteknologi Glyken di Johor

29 Jun 2024, Johor  – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan kemudahan bioteknologi baru syarikat Glyken International Berhad (Glyken) di Iskandar Puteri. Pembukaan dan perasmian pusat ini akan menjadikan Negeri Johor bakal penyumbang utama kepada pertumbuhan industri sarang burung walet di Malaysia.

Menurut YB Chang Lih Kang, kemudahan canggih sebesar 29,220 kaki persegi itu berjaya dibangunkan hasil daripada sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) melalui khidmat nasihat teknikal, sokongan pembiayaan dan infrastruktur.
“Melalui pusat bersepadu yang bernilai RM6.6 juta ini, Glyken dapat menjalankan penyelidikan berterusan di samping menyepadukan teknologi Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) dengan aplikasi bioteknologi dalam proses pembuatan. Dengan ini, Glyken mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 10 jenis produk berasaskan sarang burung walet dianggarkan bernilai sejumlah RM25 juta setahun. Ini seterusnya akan menyokong pertumbuhan industri ini ke arah mencapai sasaran pasaran eksport sebanyak 350,000 kilogram yang bernilai RM2.8 bilion menjelang tahun 2030,” tambah YB Menteri.
Dalam majlis itu, Glyken juga telah melancarkan platform pemasaran berasaskan kod QR untuk mikro-keusahawanan yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian produk Glyken kepada pelanggan serta melahirkan usahawan pada pelbagai peringkat dengan sokongan teknikal dan jualan daripada pasukan pemasaran Glyken.
Melalui bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh Bioeconomy Corporation, Glyken telah berjaya memajukan keupayaan R&D dan pengkomersialan melalui anak syarikat mereka iaitu Glyken Bio-Products Sdn Bhd. Glyken Bio-Products dianugerahkan status BioNexus oleh Bioeconomy Corporation, di mana syarikat itu diberikan sokongan dan insentif-insentif khas seperti kemudahan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R,D,C&I) sehingga Glyken dapat membangunkan produk-produk baru menggunakan ekstrak peptida glikonanoprotein daripada sarang burung walet dan seterusnya menubuhkan pusat bersepadu baru ini.
Skip to content