Skip to main content
Berita

Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP)

11 September 2024, Putrajaya – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang hari ini bertemu dengan dua pelajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, dan Shim Zi Jun, 23, yang baru-baru ini menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.

Mereka merupakan antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN). Program berkenaan telah berlangsung pada 1 Julai hingga 25 Ogos 2024. Dalam sesi pertemuan bersama YB Menteri MOSTI, Nurul Nabiilah dan Zi Jun berkongsi pengalaman mereka di program berkenaan terutamanya impak yang diperoleh terhadap perkembangan kerjaya mereka sebagai saintis muda.
Nurul Nabiilah merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Fizik dari Universiti Malaya dan sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia manakala Zi Jun merupakan pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di University of Nottingham.
Sejak tahun 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar, termasuk edisi tahun ini, ke CSSP untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa. Peserta CSSP 2024 antaranya menyertai ceramah khusus oleh pakar global dalam teori dan eskperimen fizik zarah, kejuruteraan dan pengkomputeran. Mereka juga terlibat dalam lawatan ke kemudahan utama CERN seperti ATLAS, Synchrocyclotron, Antiproton Decelerator dan Pusat Data.
Skip to content