27 September 2024, Negeri Sembilan – Buat julung kalinya, MAINS melalui Kompleks Baitul Hilal (Balai Cerap Telok Kemang), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Planetarium Negara menganjurkan Konvensyen Profesional-Amatur Astronomi Malaysia (PRO-AM) 2024 yang bakal berlangsung selama 3 hari bermula hari ini sehingga Ahad bertempat di Hotel Palm, Seremban.
Konvensyen ini yang merupakan sebuah program peringkat kebangsaan bertindak menjadi satu wadah bagi menggabungkan pelbagai kajian antara pengamal dan peminat astronomi tidak kira sama ada pada peringkat profesional atau amatur.
Selain sesi-sesi pembentangan kertas kerja dan ceramah oleh barisan pakar, konvensyen ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran peralatan astronomi, reruai jualan peralatan teleskop serta aksesori, sesi cerapan langit dan sesi lawatan ke mini planetarium.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Badaruddin dan penyampaian ucaptama oleh Ahli International Astronomical Union (IAU), YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd. Zambri Zainuddin.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan sumbangan peralatan astronomi untuk Kelab Astronomi Politeknik Port Dickson daripada MAINS bernilai RM10,000 dan penyerahan Simbolik Keanggotaan Kod Observatori Antarabangsa dari Penyelidik Universiti Malaya kepada MAINS.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancang dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Pengarah Planetarium Negara, YBrs. Tn Hj Shahruddin Bin Yusof dan Setiausaha MAINS, YBrs. Tuan Zainal Bin Said.
SUMBER Foto | Berita: Unit Media Baharu/AinR