15 Oktober 2024, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), mengumumkan senarai tujuh (7) pemenang bagi Program #MYHackathon 2024 Kohort 1. Pengumuman tersebut dibuat semasa majlis perasmian penutupan program itu yang diadakan di AICB Centre of Excellence (ACE), Kuala Lumpur.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Pemenang kohort 1 bakal menerima geran bersyarat bernilai sehingga RM250,000 untuk melaksanakan pembangunan projek rintis serta akses kepada bimbingan pelaksanaan projek secara one-to-one untuk tempoh 12 bulan akan datang. Kesemua pemenang juga bakal bekerja secara rapat dengan pemilik pernyataan masalah bagi memperhalusi rancangan pelaksanaan solusi mereka.
Dalam ucapannya, YB Tuan Chang menyatakan, “MYHackathon bukan hanya platform untuk menguji kebolehan, tetapi juga medan strategik untuk mencungkil bakat baharu dan menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan serta agensi-agensi berkaitan. Saya amat kagum dengan kualiti penyelesaian yang diketengahkan oleh para peserta. Idea-idea ini bukan sahaja praktikal, tetapi juga inovatif, selari dengan iltizam Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi Asia dan visi ekonomi MADANI. Ini bertepatan dengan usaha memperkukuh pembangunan bakat dan memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.”
Dilancarkan pada 23 September 2024 dengan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia MADANI’, Program MYHackathon 2024 Kohort 1 mengetengahkan tujuh (7) pernyataan masalah yang dikemukakan oleh beberapa Kementerian dan agensi Kerajaan. Program ini telah berjaya menarik lebih 500 penyertaan daripada kumpulan serta syarikat berdaftar daripada seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Kesemua peserta telah menjalani sesi bootcamp selama dua minggu dan sesi pementoran secara one-to-one daripada mentor bertaraf dunia sebelum 23 finalis dipilih bagi sesi penyampaian ‘Demo Akhir’ yang berlangsung di Auditorium Azman Hashim, ACE Conference Centre, Kuala Lumpur hari ini.