Skip to main content
Berita

National Technology and Innovation Sandbox (NTIS)

24 Oktober 2024, Selangor – National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) menyambut ulang tahun ke-3 hari ini, dengan hasrat untuk terus memperkasakan inovator, syarikat permulaan dan usahawan di seluruh Malaysia. Ianya diraikan dengan pelancaran PropTech Sandbox (sebuah inisiatif dengan kerjasama SP Setia) oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal.
Sejak penubuhannya pada tahun 2020, NTIS yang diterajui oleh MOSTI bermatlamat mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk teknologi dan inovasi berkembang di Malaysia. Ia merupakan platform untuk usahawan, penyelidik dan syarikat menguji dan mengesahkan idea mereka, dan mengubah idea ini menjadi perniagaan yang berjaya.
Sepanjang tiga tahun yang lalu, dari Julai 2020 hingga Disember 2023, NTIS cemerlang dalam menyokong ekosistem inovasi Malaysia. Ia telah memproses 742 permohonan, meluluskan 100 projek untuk geran, dan memudahkan pengagihan pembiayaan RM80.84 juta untuk memacu pembangunan dalam penyelesaian termaju. Hasilnya, 49 syarikat telah berjaya menyiapkan projek mereka, dengan 28 mencapai pengkomersilan. Secara kolektif, usaha ini telah menjana RM87.28 juta dalam jualan. Selain itu, NTIS telah membantu empat syarikat menembusi pasaran antarabangsa, mencapai nilai eksport kira-kira hampir satu juta ringgit.
“NTIS telah memainkan peranan penting dalam memajukan visi MOSTI untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” kata YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau juga menekankan bahawa inovasi yang dibangunkan melalui NTIS telah memberi impak yang besar merentasi sektor utama, termasuk bandar pintar, penjagaan kesihatan, dan pertanian, menunjukkan komitmen Malaysia untuk memupuk pertumbuhan teknologi.
Meraikan kejayaan 3 tahun memperkasa pertumbuhan teknologi, NTIS dengan kerjasama SP Setia, melancarkan Program Perintis PropTech Sandbox. Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk inovasi dalam sektor hartanah dengan mempromosikan penyelesaian bangunan pintar, mampan dan selamat. PropTech Sandbox sejajar dengan matlamat Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
Skip to content