7 November 2024, Kelantan – Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), agensi di bawah MOSTI telah menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dinamakan Kasih BIO sempena Program STI 100³ – Sciensation BIO 2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli. Melalui program Kasih BIO, Bioeconomy Corporation telah memberikan sumbangan termasuk makanan asasi dan barang keperluan sekolah kepada 30 keluarga orang asli dari Sungai Rual, di samping sumbangan zakat kepada 50 pelajar asnaf dari UMK.
Dalam majlis yang sama, Bioeconomy Corporation juga telah bekerjasama dengan UMK Kampus Jeli untuk melaksanakan Program STI 100³ – Sciensation BIO 2024 yang melibatkan penyertaan 130 orang murid daripada 11 buah sekolah di sekitar Kelantan. Mereka telah mengambil bahagian dalam sembilan aktiviti pembelajaran interaktif yang dikendalikan oleh 10 orang saintis UMK untuk meningkatkan minat dan penghayatan pelajar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam bidang bioteknologi dan berasaskan bio.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, program Kasih BIO dan program STI 100³ – Sciensation BIO 2024 membuktikan bagaimana kerjasama erat antara pihak kerajaan, korporat dan institusi pendidikan tinggi dapat merealisasikan aspirasi STI negara tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Program STI 100³ – Sciensation BIO 2024 adalah sebahagian daripada Program STI 100³ yang diterajui oleh MOSTI, selaras dengan seruan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menggalakkan minat dalam bidang STEM di kalangan pelajar institusi pendidikan, khususnya di kawasan luar dan pinggir bandar.