7 November 2024, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menekankan peranan penting saintis muda dalam memacu agenda Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Malaysia. Dengan fokus kepada pembangunan bakat baharu, MOSTI kini giat mencari penyelesaian inovatif dalam kalangan penyelidik generasi masa depan bagi menangani cabaran utama negara.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya semasa majlis penutup Anugerah Chrysalis Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) 2024 berkata ‘“Harus ditekankan bahawa saintis muda memainkan peranan penting untuk Malaysia. Ketika ini, anggaran 30% daripada jumlah keseluruhan penyelidik Malaysia tergolong dalam kategori saintis muda. Ini mengukuhkan lagi peranan anda semua dalam membuka sempadan baharu inovasi.”
Anugerah Chrysalis YSN-ASM adalah sebuah program tahunan yang bermula pada tahun 2020, dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) melalui YSN-ASM. Ia bertujuan bagi mengenal pasti dan mengiktiraf bakat penyelidik masa depan yang berpotensi di kalangan pelajar PhD tahun akhir di Malaysia. Sepanjang pelaksanaan program ini, 15 finalis telah dinilai secara individu berdasarkan demonstrasi pengetahuan, semangat, kepimpinan, kreativiti, kerja berpasukan dan kemahiran pembentangan mereka. Tema Anugerah Chrysalis YSN-ASM 2024 ialah ‘Tomorrow’s Leaders: Cultivating Innovation and Impact for Our Nation and Communities.’
Finalis Anugerah Chrysalis YSN-ASM yang terpilih akan menerima sokongan dan bimbingan berterusan selama lima tahun selepas program ini. Langkah ini adalah untuk menyokong finalis tersebut dalam membentuk mereka menjadi seorang penyelidik cemerlang yang akan menyumbang kepada ekosistem STIE Malaysia. Calon yang sesuai juga akan disyorkan untuk mendapat biasiswa atau latihan industri yang berprestij di institusi dan organisasi yang terkemuka.