Skip to main content
Berita

Sambutan Program Bicara Planetarium Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-31 Planetarium Negara

7 Februari 2025, Kuala Lumpur – Planetarium Negara menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke – 31 pada hari ini. Kompleks Planetarium Negara yang terletak di kawasan Tasik Perdana, Kuala Lumpur telah mula dibina sekitar tahun 1990 dan telah dirasmikan pada 7 Februari 1994.

Sempena ulang tahun Planetarium Negara ke – 31 ini, beberapa program telah dirangka khas untuk tarikan pengunjung. Antaranya adalah Hari Terbuka Planetarium Negara dan Bicara Planetarium Negara. Program bual bicara mengupas sejarah Planetarium Negara serta Integrasi Sains melalui Seni Penceritaan yang disampaikan oleh Professor Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Mazlan binti Othman. Beliau merupakan mantan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara dan pengasas penubuhan Planetarium Negara.
Majlis sambutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan YBrs. En. Mohd Zamri Shah bin Mastor, Pengarah Planetarium Negara. Bicara Planetarium Negara ini juga dihadiri oleh pegawai-pegawai dan agensi di bawah MOSTI, pelajar universiti awam dan swasta, NGO serta kementerian lain.
Planetarium Negara menawarkan kemasukan percuma kepada orang awam sepanjang hari ini sempena Hari Terbuka Planetarium. Para pengunjung berpeluang merasai pengalaman eksplorasi angkasa melalui tayangan filem planetarium dan kembara simulasi Space Pod. Planetarium Negara turut menawarkan pengalaman baharu melalui pembukaan beberapa ruang pameran bertema yang mengetengahkan konsep pembelajaran edutainment seperti Cosmic Carousel, NASA’s Eyes on Solar System dan Aspects of the Sky. Turut ditawarkan pelbagai aktiviti pendidikan Planet Kidz yang dilaksanakan di dalam bilik aktiviti baharu di Planetarium Negara, khas untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun.
Planetarium Negara sentiasa komited dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan bidang Astronomi dan Sains Angkasa melalui pelbagai aktiviti pembelajaran sains bukan formal secara interaktif serta program-program pembudayaan Sains Angkasa dan Astronomi.
Skip to content