04 Mei 2025, Sarawak – Minggu Sains Negara (MSN) 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kembali dengan pendekatan yang lebih mantap dan inklusif, membawa semangat baharu dalam menyemarakkan minat pelajar serta masyarakat umum terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, program ini bertujuan menjadikan ilmu sains dan teknologi lebih mudah diakses, difahami dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda.
Program MSN 2025 akan menjelajah ke enam (6) zon utama di seluruh negara, bermula di Sarawak, diikuti Sabah, Terengganu, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pameran pendidikan STEM, persembahan sains yang mengujakan, kuiz interaktif, bengkel pendidikan dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan.