12 Jun 2025, Cyberjaya – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI telah menghadiri sesi perbincangan bersama pengurusan VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH), sebuah syarikat milik penuh MIGHT yang dimandatkan untuk memperkasa pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor strategik dan berasaskan teknologi melalui pelaburan berimpak tinggi.
VentureTECH berkongsi mandat, pencapaian dan hala tuju strategik mereka, termasuk kejayaan menyokong pembangunan syarikat Bumiputera berasaskan teknologi, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, dan pengkomersialan inovasi tempatan ke pasaran antarabangsa. Turut dibincangkan adalah impak pelaburan terhadap ekonomi negara dan pemerkasaan modal insan melalui program berfokuskan komuniti dan bakat muda.
VentureTECH telah diwakili oleh YBhg. Datuk Haji Ir. Khalilur Rahman Ebrahim, Pengerusi VentureTECH; YBhg. Dato’ Dr. Zulkifli Mohamed Hashim, Pengarah Bebas dan Encik Ahmad Redzuan Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif, VentureTECH. MOSTI turut diwakili oleh Puan Norbaya binti Othman, Setiausaha Bahagian Dana dan Encik Ramlee bin Abdul Ghani, Timbalan Pengarah MASTIC.
Sesi ini menzahirkan komitmen MOSTI dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan pelabur berimpak tinggi ke arah memperkasa ekosistem STI dan pembangunan ekonomi Bumiputera berteraskan teknologi.