19 Jun 2025, Selangor – Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (“MTDC”) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini melancarkan Hab Teknovasi UKM-MTDC, sebuah kemudahan strategik di bawah 𝘚𝘪𝘨𝘯𝘢𝘵𝘶𝘳𝘦 𝘗𝘳𝘰𝘨𝘳𝘢𝘮 𝘔𝘛𝘋𝘊 yang bertujuan memperkukuh ekosistem inovasi negara menerusi pemerkasaan penyelidikan, pembangunan bakat dan keusahawanan teknologi di peringkat universiti.
Hab Teknovasi ini diwujudkan menerusi kerjasama erat antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), dengan kerjasama MTDC, bagi menyediakan ruang inovatif kepada pelajar, penyelidik serta syarikat pemula akademik. Ia menempatkan makmal prototaip, ruang kerja kolaboratif dan bimbingan industri untuk menyokong proses pengkomersialan hasil penyelidikan serta pembangunan produk berteknologi tinggi yang bersedia untuk pasaran.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bertempat di FKAB, UKM. Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato’ Yeow Wah Chin; Dekan FKAB, Kol. Bersekutu (PA) Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman; Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Strategi Korporat Kumpulan MTDC, Puan Mariamah Hj. Daud; dan Pengarah UKM-CESMED, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry.
Sebanyak RM250,000 telah disalurkan kepada UKM di bawah Signature Program MTDC, termasuk pembangunan Maker Lab@UKM yang kini dikenali sebagai Hab Teknovasi UKM-MTDC. Kemudahan ini dilengkapi peralatan teknologi terkini seperti pencetak 3D, pemotong laser dan mesin CNC, sekaligus membolehkan pelajar mereka bentuk prototaip awal, menguji penyelesaian dan menzahirkan idea disruptif dalam bidang kejuruteraan, teknologi pintar serta kelestarian.
Hab Teknovasi UKM-MTDC dijangka menjadi pusat rujukan dan pemangkin utama pembangunan inovasi akademik, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau melalui kolaborasi universiti-industri yang mampan.