26 Jun 2025, Putrajaya – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia, yang menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). TYT Duta diiringi oleh Encik Tatsuya Kitaoka, Encik Yosuke Kurotani dan Encik Keigo Matsuo daripada Perkhidmatan Maklumat Jepun dan Bahagian Ekonomi Kedutaan Jepun di Malaysia.
Antara yang hadir termasuk wakil-wakil MOSTI dari Bahagian Antarabangsa, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Akademi Sains Malaysia dan NanoMalaysia Berhad.
Sepanjang pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah memperteguhkan komitmen bersama terhadap pembangunan mampan dan pertumbuhan berasaskan inovasi. Perbincangan memberi tumpuan kepada penerokaan potensi kerjasama dalam memajukan ekonomi hidrogen dan teknologi ammonia, mengukuhkan ekosistem syarikat pemula (startup), serta memupuk penggunaan tenaga nuklear secara selamat untuk tujuan aman.
Kedua-dua pihak turut mengulangi kerjasama erat mereka dalam penyelidikan dan pembangunan bersama melalui platform seperti e-ASIA Joint Research Program (e-ASIA JRP), Japan International Cooperation Agency (JICA), Japan Science and Technology Agency (JST), dan Japan Society for the Promotion of Science (JSPS), yang menyokong inisiatif hijau selaras dengan inisiatif Asia Zero Emissions Community (AZEC).
YB Tuan Chang Lih Kang menekankan kepentingan strategik Jepun sebagai rakan kongsi jangka panjang dalam pembangunan teknologi dan menegaskan keperluan untuk kerjasama yang berterusan dalam memperkukuh ekosistem inovasi kedua-dua negara. TYT Duta turut menyatakan kesediaan Jepun untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia melalui pertukaran pengetahuan, pembangunan kapasiti dan penglibatan sektor swasta demi mencapai matlamat bersama dalam bidang sains dan teknologi.