10 Julai 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia telah menghadiri Majlis Pemeteraian Perjanjian Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia Dengan Kerajaan Amerika Syarikat Bagi Kerjasama Strategik Nuklear Awam.
Perjanjian ini telah dimeterai oleh YB Dato’ Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri Malaysia bersama dengan TYT Marco Rubio, Setiausaha Negara Amerika Syarikat.
Kerjasama Strategik Nuklear Awam ini berperanan sebagai pemangkin kepada kerjasama jangka panjang dalam membangunkan keupayaan tenaga nuklear awam Malaysia secara selamat dan bertanggungjawab. Ia merupakan antara langkah yang dapat memperkukuh usaha Malaysia dalam membangunkan program tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik secara terancang.
Melalui kerjasama ini, Malaysia berpeluang mengakses kepakaran teknikal, teknologi semasa dan amalan terbaik antarabangsa yang dapat menyokong pembangunan
infrastruktur, pelaksanaan penyelidikan bersama dan pengukuhan industri tempatan. Perjanjian ini turut membuka peluang kepada pelaksanaan program latihan, pertukaran kepakaran dan pembangunan tenaga kerja tempatan dalam bidang nuklear.
Turut hadir bersama di dalam majlis tersebut ialah Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia; Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram bin Yaakob, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat; TYT Edgard Kagan, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Setiausaha Bahagian Antarabangsa, wakil PETRA dan pegawai-pegawai dari kedua-dua buah negara.