31 Julai 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan Utama (Master Research Agreement, MRA) antara Amway Malaysia dan Monash University Malaysia untuk memajukan sains mikrobiom dalam usaha memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD).
Inisiatif ini selaras dengan objektif Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang bertujuan untuk membangunkan ekosistem STI yang lebih kompetitif dan bertanggungjawab terhadap masyarakat. Kerjasama ini mencerminkan visi teras DSTIN iaitu ‘Inovasi untuk Kesejahteraan’.
Kerjasama ini akan menumpukan kajian tentang bagaimana pemakanan yang disasarkan dapat meningkatkan kesihatan usus dan mengurangkan risiko penyakit kronik serta NCD seperti obesiti, diabetes, penyakit jantung dan ganguan emosi.