Skip to main content
Berita

Kerjasama Empat Pihak Mengubah Sisa Pertanian Menjadi Serabut Nano (Nanofiber) Lestari

01 Ogos 2025, Putrajaya – NMB (NanoMalaysia Berhad), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bersama-sama SEED Tech Sdn Bhd (STSB), XMU Jiageng Education Development Sdn Bhd (XMU), dan Henan Yujian Building Renovation Technology Co. Ltd. (YJ), telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan mengkaji penggunaan sisa pertanian dalam menghasilkan serabut nano (nanofiber) selulosa melalui aplikasi kejuruteraan termaju bagi industri dan pengguna akhir.

Usahasama empat pihak ini menandakan langkah penting dalam menggalakkan penggunaan bahan inovasi yang lestari dan pengkomersialan teknologi yang sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), Kerangka 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE), Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara serta mendukung Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) bagi pelaksanaan dan penerimaan secara menyeluruh.
MoU ini menggariskan iltizam bersama untuk mengubah sisa pertanian menjadi serabut nano selulosa bernilai tinggi, dengan tumpuan peningkatan skala daripada makmal kepada pasaran untuk kegunaan dalam sektor pembinaan, automotif dan sektor-sektor kejuruteraan yang lain. Projek ini bertujuan untuk memanfaatkan kekuatan keempat-empat rakan kerjasama, termasuk keupayaan R&D dan kepakaran industri, bagi memacu hasil berimpak tinggi untuk Malaysia dan rantau ini.
Majlis telah disaksikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi NMB, Mohamad Hafiz Zolkipli, Pengarah STSB, Zhang Liang, Naib Presiden Universiti Xiamen Malaysia, Profesor Zhang Ying, dan Pengurus Besar YJ, Sun Lili.
Skip to content